Sunday 15 March 2015

MUNGKINKAH KITA MELANGKAH PERGI


Nilam,

Tadi, lama mak berdiri di luar rumah.  Rasa sayu hati merenung lorong yang kosong.  Mak ingat lagi, 3 bulan lalu, semasa cuti panjang hujung tahun, hati mak riang.  Riang menyusuri lorong itu, kadang morning walk, kadang night walk ...sambil menyusuri lorong, mak merencana kehidupan kita untuk tahun 2015.  Mak rancang molek-molek sambil kaki melangkah dalam hembusan angin yang segar.

Mak beli meja untuk kita buat kerja.

Lalu, kita mulakan tahun 2015 dengan penuh semangat.  Impian mak untuk mengajar anak sendiri tercapai.  Tak dapat mak gambarkan dengan kata-kata, indah bahagia yang mak kecapi.  Setiap kali berdiri di hadapan kelas Nilam, mak bersemangat, langsung tak rasa penat.  Waktu dirasakan terlalu pantas berlalu.  Menambah keriangan hati Mak, dalam ujian bulanan pertama, ramai pelajar dapat A dan Nilam sendiri dapat 97%.  Mak rasa suka cita.

Mak merancang dalam diam, mak nak buat satu projek khas untuk kelas Nilam.  Mak dah ada idea tapi belum jelas bagaimana mak nak laksanakan.  Matlamat mak, nak bawa 31 pelajar kelas Nilam mencapai kecemerlangan SPM... ini adalah matlamat jangka panjang, Mak percaya, tingkatan 1 adalah permulaan segalanya bagi peringkat menengah.  Jika dari tingkatan 1, pelajar disiap siaga untuk mencapai kecemerlangan maka mereka akan cemerlang...

Begitulah ...

Namun, tiba-tiba hati mak hancur, bagai kaca terhempas ke batu ...

Mak hilang semangat dan hilang kata-kata.

Mak kecewa.

Dalam kekecewaan ini, mak cuba memujuk hati.  Mak sayang anak-anak didik mak.  Mak motivasikan mereka tanpa mereka sendiri sedari.  Mak tanam semangat untuk berjaya secara halus dan penuh hemat.  Mak tak nak sesuatu yang ketara atau menekan.

Mak akan terus pujuk hati ini.

Mak tak tahu, adakah kelukaan hati ini akan pulih ATAU KITA AKAN PERGI

PERGI KE SEBUAH SEKOLAH LAIN YANG SUDI MENERIMA SEGALA KEKURANGAN DAN KELEBIHAN KITA ATAU KITA KEMBALI SAHAJA KE KAMPUNG HALAMAN MAK...

MUNGKIN KITA DAH PENAT DI PERANTAUAN.


No comments:

Post a Comment