Monday 20 April 2015

HIDUP SENDIRI LEBIH BERERTI


Nilam,

Mak gembira meneruskan hidup ini bersama anak-anak yang Mak kasihi.  Dari hari ke hari, Nilam makin matang dan boleh memahami banyak perkara.  Kita dah boleh berkongsi cerita macam BFF. Nilam dah jadi kawan baik mak.  Ke sana ke mari kita bersama.

Adik makin besar dan cerdik.  Kita gembira melayan kerenah adik.

Abang tetap abang.  Begitulah dia tapi kita tahu, kita amat menyayanginya.   Dia pun tahu, kita sayang dia.

Nilam, lama mak tak buat catatan harian sehari dalam hidup kita. Hari ni, teragak pula nak cerita detail pergerakan kita pada 20 April 2015.  Catatan kenangan untuk Nilam, abang dan adik, suatu hari nanti, setelah mak tiada lagi di sisi.

5.00 pagi

Mak terjaga.  Sunyi.  Hening.  Nilam, abang dan adik masih lena dibuai mimpi sendiri-sendiri.  Mak ke dapur ambil segelas air.  Kemudian, mak minum di luar rumah.  Terasa sungguh dinginnya angin pagi menyentuh kulit mak.  Lampu jalan masih menyala.  Indah panorama alam.  Hati mak damai.

5.30 pagi

Mak mula buat persiapan untuk ke sekolah.  Niat mak untuk bersahur dan berpuasa, belum dapat dilaksanakan.  Tunggulah sehari dua lagi.  Jika diizinkanNya, mak ingin penuhi bulan Rejab ini dengan berpuasa.

6.00 pagi

Mak kejutkan Nilam dan adik.  Bagi adik minum madu Qaseh Gold dan susu. Mak siapkan adik untuk ke Taska.  Alhamdulillah, pagi ni adik tak meragam langsung.  Baik sangat.

Nilam pandai bersiap sendiri.  Cepat dan pantas.

Sejak Nilam dah besar ni, Nilam dah pandai buka pintu, buka pagar, tugas mak jadi sangat mudah. Nilam juga bawa adik masuk kereta.

Mak bersiap lebih kurang.  Mak dah tak make up lagi.  Cukuplah segala keindahan dunia yang palsu tu.

6.45 pagi

Kita keluar ke Taska adik.  Depan rumah saja.  Kak Mira dah menunggu.

6.55 pagi

Kita menuju ke sekolah.

Tapi kita terpaksa berpatah semula balik rumah.  Nilam baru tersedar cermin mata nilam tercicir semasa menutup pintu pagar.

7.05 pagi

Kita menuju ke sekolah.

7.25 pagi

Menghadiri perhimpunan rasmi sekolah.

#Mak tak perlu mendengar ucapan seorang pemfitnah#Dosa memfitnah lebih besar daripada dosa membunuh ( orang yang tidak bersalah )#

(ANAK-ANAKKU, JANGAN SESEKALI KITA MEMFITNAH SESIAPA DI ATAS MUKA BUMI INI.  INGATLAH SELAMANYA)

8.50 pagi - 10.10 pagi

Mula masuk kelas.  Dua waktu.


10.30 pagi - 11.50 pagi

Masuk kelas.  Dua waktu lagi.


11.50 -1.10

Masuk kelas Nilam.  Relief Pn R.  Dua waktu.  Mak suka, dapat mengajar Matematik  kelas Nilam. Mesti kawan-kawan Nilam boring tengok muka Mak, tak apa, janji mak bahagia.

1.10 -1.50 tengahari

Mak duduk di sofa bilik guru.  Cuaca panas.  kepala mak sakit.  Sambil-sambil tu mak surf internet membaca tentang OPPM.  ( One Page Project Manager ).

1.50- 2.30 petang

Masuk kelas Nilam lagi.  Mengajar Matematik lagi.  Mak seronok tapi kesian kawan-kawan Nilam ... dah tepu dah ...

2.45 petang

Kita tinggalkan sekolah, menuju ke Maybank Senawang.  


3.30 petang

Urusan selesai.  Kita ke Giant Senawang makan Nasi lemak kukus ayam pandan.  Minum air mangga dan oren.  Sedap.

4.00 petang

Masuk kedai buku, cari poskad.  Cikgu M minta Nilam bawa.  Tak jumpa pun poskad.  Dah 10 kedai kita pergi tapi tak jumpa pun poskad.  Rasanya, orang dah tak guna poskad lagi kot.

4.30 petang

Menuju ke taska adik.  Ambil adik

Pergi ke kedai Aniq beli buku Iqra adik.

5.00 petang

Sampai rumah

Penat kan Nilam ?


p/s  :  Papa tanya Nilam, mak marah ke papa tak peduli adik sakit ?  Mahunya tak marah.  Tapi papa kata dia sibuk kerja.  Tak boleh cuti.  (TAK APALAH NILAM.  DAH NASIB ADIK.  BAPA SENDIRI PUN TAK UTAMAKAN DIA.  TAPI BAGUS JUGA.  SUATU HARI NANTI, SAAT PAPA TERLANTAR DI HOSPITAL, NILAM DAN ADIK TAK PERLU AMBIL CUTI.  KERJA SAJA MACAM BIASA) ... tapi terpulanglah ... terpulanglah pada hati budi anak-anak mak ... Pernah mak berbual-bual dengan seorang Doktor ...  Dia anak yang ditinggalkan ayah ... tidak dipedulikan ... membesar dalam tangan ibu ... tapi saat ayah beliau terlantar sakit, Doktor  tu dan adik beradik dia DATANG JUGA ZIARAH ... TAK SAMPAI HATI NAK BIAR ... Bagi diri mak, mak amat berharap, saat mak lemah dan tak berdaya, anak-anak ada di sisi kerana mak tak ada sesiapa kecuali anak-anak ... mak memilih untuk tidak bersuami lagi demi anak-anak ... Mak cuma nak teruskan hidup ini, yang tak tahu hingga bila , ...dengan anak-anak yang amat mak kasihi...  apa pun berlaku, anak-anak tetap keutamaan mak ... Hakikatnya, hidup sendiri lebih bererti!







Sunday 12 April 2015

DIA TAK LAYAK BERGELAR AYAH



Anakku Rezza,

Saat blog ini mak tulis, hati mak rasa sangat marah.

kenapa ?

Malam Sabtu seminggu yang lalu, Papa Rezza telefon.  Mak kata Rezza tak sihat.  mak nak hantar Rezza ke hospital.

Mak pun hantar Rezza ke hospital.  Rezza masuk wad selama seminggu.  Papa tak tanya khabar.  Tak jengah muka langsung tengok Rezza.

Rezza,  Lelaki itu tak layak layak Rezza panggil PAPA.

Di mana dia SEMASA ANAK SAKIT ?

P/S  :  Anak-anakku, ketahuilah, rumah yang kita duduki sekarang adalah rumah mak yang mak beli menggunakan pinjaman perbendaharaan.  Mak terpaksa nyatakan perkara ini sebab mak tak mahu anak-anak keliru dengan statement papa yang pernah beritahu orang, ini rumah dia tapi dia bagi mak duduk.  Begitulah dan itulah PAPA ... sebab itulah, mak suka dia pergi dari hidup mak sebab lebih baik tak berlaki daripada hidup dengan  manusia mcm tu ,,,

INGATLAH REZZA, SAAT MAK TERKEJAR-KEJAR MENGURUS KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN ANAK-ANAK, PAPA REZZA TAK PEDULI APA PUN ... DIA CUMA PANDAI BURUK-BURUKKAN MAK DAN TUNJUK BAGUS ...




Wednesday 8 April 2015

PENGORBANAN NILAM UNTUK ADIK AMAT MAK HARGAI


Ariff, Nilam dan Rezza,

1.  Saat ini, rumah kita amat sunyi.

2.  Sungguh, mak bersyukur, masih bernafas lagi di bumi Tuhan ini, meneruskan perjuangan hidup          bersama  tiga orang anak yang amat mak kasihi.

3.  Ingin mak nyatakan di sini, kita melalui hari-hari yang sungguh indah.

4.  Mak hidup untuk anak-anak.

5.  Papa kata mak tak kahwin-kahwin kerana takut dengan bayang-bayang sendiri.  Itu tuduhan yang tidak benar.  Mak masih sendiri kerana ANAK-ANAK.  Anak-anak sangat memerlukan mak.  Mak juga sangat memerlukan anak-anak.  kita saling amat memerlukan antara satu sama lain.

6.  Adik Rezza membesar tanpa perhatian dan kasih sayang yang cukup dari papa tapi mak nampak hikmahnya.  Tuhan jauhkan papa dari adik ada sebabnya.  Ada sebab Tuhan temukan kita.  ada sebab juga Tuhan pisahkan kita.  Adik tak rugi apa-apa.  Kasih sayang kita melimpah ruah untuk adik,  Mak tak kesal malahan mak bersyukur.  Mak amat bersyukur ditinggalkan oleh papa.  Siapa nak tinggalkan mak, tinggalkanlah ... mak cuma perlukan anak-anak mak dan insan yang tulus ikhlas mengasihi diri ini ... mak tak perlukan pengkhianat dalam hidup mak .

7.  Anak-anakku, mak sangat beruntung ada anak-anak seperti Abang, Nilam dan adik.  Kasih mak abadi.  Susah senang, kita tetap bersama ...syukur, kita tak pernah susah, syukur, Allah sentiasa menghantar insan yang baik untuk bantu kita.  Ini rezeki anak-anak.  Alhamdulillah.

8.  Sampai di sini, untuk kali ini.  Mak nak bergerak lagi.  Masih ada urusan yang belum selesai.  Akhir kata, terima kasih Nilam, banyak bantu mak sepanjang minggu ini.  Tanpa Nilam, mak tak mampu nak harungi ombak dan badai dengan jaya.

Nilamlah layar, 
Nilamlah bahtera, 
Nilamlah camar, 
Indah di lautan sana.

P/s  :  Nilam, Beritahu Abg dan adik, mak berterima kasih pada abg kerana pandai bawa diri dan mak berterima kasih pada adik sebab senyumannya menghilangkan segala resah di hati



Tuesday 7 April 2015

BERTEMU SEPUPU DI KAFE

Nilam,

Alhamdulillah, semalam, secara kebetulan Mak terserempak dengan sepupu mak di kafe hospital. Sepupu mak ini bernama Azizah Haji Taplil tapi mak panggil dia Kak Jijah.  Cantik dan manis orangnya. Sempat mak dan dia berbual seketika.

Terima kasih Kak Jijah atas sumbangan ikhlas untuk Rezza,  Alhamdulillah.


DARI SINAR MATAMU


Nilam,

Memang betul kata Nilam ;  Nak buat apa risau fikir pasal semua benda.  Hidup ini bukan lama.

Mak dah sedar.  Apa yang perlu mak syukuri ialah nyawa yang masih dipinjamkan olehNya.  Alhamdulillah, terjaga dari tidur, mak masih dapat melihat fajar, masih bernafas, masih dianugerah tenaga dan kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab.

Nilam,

Mak riang ria bersama Abang, Nilam dan adik.  Mak gembira  dan ceria melihat anak-anak membesar depan mata.  Mak nampak sinaran bercahaya dalam mata anak-anak mak dan mak tahu cahaya itu membawa makna ADA EMPAT HATI YANG SEDANG BERBAHAGIA.

p/s  :  Dapur basah kita dah siap.  Terima kasih banyak Pak Dollah tolong saya.  Terima kasih jua pada Atuk dan Mr X.  ( Untuk makluman Nilam, projek renovation dapur basah kita ini dibiayai oleh atuk dan kawan mak.  Mak tak keluar duit satu sen pun.  Semoga Allah murahkan rezeki mereka ).


Monday 6 April 2015

Saturday 4 April 2015

KITA CUMA ADA KITA DAN PENCIPTA, BEGITULAH BIASANYA



Nilam,

Malam tadi, mak rasa sangat sendirian.

Merempuh hujan rintik-rintik dalam pekat malam ... kuat sungguh rasa sendiri itu ...

Seandainya ada insan yang sudi menemani kita, alangkah indahnya ...

tapi kita sendiri ...

Sejenak, mak melayani rasa sendiri itu dalam kesayuan hati ...

Tapi, tiba-tiba, mak tersedar, mak tidak sendiri.  Allah bersama kita.

Mengingati Allah bersama kita, kesedihan mak hilang dibawa angin entah ke mana.

Lalu kita teruskan hidup ini seadanya.

Kita teruskan hidup ini dengan apa yang ada.

AKAN SENTIASA MAK INGATKAN DIRI INI  : USAH LUPA  WALAU DI MANA DIRI BERADA :

Kita cuma ada kita dan PENCIPTA.

begitulah, biasanya!