Daripada Mak kepada Nilam
Jam 0038
23 NOVEMBER 2014
KPJ SEREMBAN
Ke hadapan anakanda Nilam,
Mak tak tahu bila Nilam akan berkesempatan membaca warkah Mak ini. Mak juga tak tahu, adakah ketika Nilam membaca warkah ini, mak masih ada lagi di dunia ini atau telah kembali menemui pencipta kita ... Doa Mak, Nilam tenang, sihat dan masih Nilam yang mak kenal dulu.
Semasa mak menulis warkah ini, umur Nilam baru 12 tahun. Ada banyak perkara yang kalau Mak cakap dengan Nilam hari ini, Nilam tak akan faham. Nilam masih budak mentah. Belum cukup matang untuk memahami banyak perkara. Sebab itulah mak tulis warkah ini. Harapan mak, ketika Nilam membaca warkah ini suatu hari nanti yang entah bila, Nilam dah dewasa dan mampu memahami apa yang ingin mak sampaikan dengan sebaik-baiknya.
Sekarang, kehidupan kita agak sukar. Nilam tahu kan ? Mak bersendirian membesarkan anak-anak. Adik kerap sakit. Namun, mak nak Nilam tahu, sesungguhnya hebat sungguh kekuasaan Allah. Dia tidak biarkan kita sendirian melalui kesukaran ini. Bantuan demi bantuan dihantarkanNya untuk kita ... Alhamdulillah.
Tentu Nilam tertanya-tanya : Apakah bantuan yang mak maksudkan ?
Jawapan untuk soalan Nilam :
- Allah sentiasa mempermudahkan urusan mak walau di mana jua mak berada.
- Pada malam kita bawa adik ke hospital ( 18/11/2014 ), kita dipertemukan dengan doktor yang sangat baik.
- Pada malam itu juga, ada katil kosong untuk adik masuk wad. Biasanya wad KPJ sentiasa penuh.
- Pada malam itu juga, Doktor yang biasa merawat adik merupakan doctor on call.
- Pada malam itu juga, mak diberi ketenangan, kesihatan dan kekuatan untuk menguruskan segala-galanya.
- Hari ini, hari ke-6 adik di hospital. Keadaan adik semakin baik.
- Setiap hari, mak berulang-alik ke sana ke mari : balik rumah tengok abang, cari makanan untuk anak-anak, pergi kerja, beli barang keperluan kita. Semua uruisan berjalan lancar.
- Walau ke mana pun mak pergi, mak mudah sangat dapat tempat park kereta
- Insan-insan yang mak temui amat baik dan sudi membantu apa yang perlu.
Mak rasa sangat bersyukur, Nilam.
Oleh itu, PESANAN MAK PADA NILAM : :
Setiap hari dalam kehidupan Nilam, walau di mana pun Nilai berada, jangan lupa untuk menghulurkan pertolongan kepada insan yang memerlukan.
Kalau Nilam banyak duit dan harta - bantulah dengan duit dan harta.
Kalau Nilam banyak tenaga - bantulah dengan kudrat yang ada.
Kalau Nilam ada pangkat dan kuasa - gunakanlah pangkat dan kuasa Nilam untuk kesejahteraan dan keharmonian sesama manusia.
Nilam, kadangkala orang yang sedang dalam kesusahan tak bersuara melahirkan
derita mereka. Nilam ambil masa seminit dua, renunglah mata mereka. Nilam akan nampak
BAYANGAN DERITA, bantulah setakat yang termampu....
JIKA BEGITU MULIA HATI ANAKANDA
MAK BAHAGIA DI ALAM SANA.
.
No comments:
Post a Comment