
SAYA MASIH DI SINI ... ANDAI SAYA TIADA LAGI, BIARLAH CATATAN-CATATAN INI MENJADI PENAWAR RINDU KALA SEPI ... Ariff, Nilam dan Rezza, bila2 merindu mak, datanglah sini... blog ini mak update hari-hari ... Mak catat apa saja tentang kita sehingga ke hujung nyawa... Jangan lupa doakan mak tenang dan damai di sisiNya!!!
Sunday, 4 January 2015
HARI INI DALAM HIDUP MAK
Nilam,
Hari ini, mak ke sekolah, ada mesyuarat bidang kemanusiaan.
Hari ini, seorang teman lama bertanya khabar. Terima kasih teman, Alhamdulillah.
Hari ini, mak menerima berita pemergian seorang kenalan, Hajjah Fauziah. Al-Fatihah, Tergambar di ruang mata mak , wajah manis wanita bergaya ini. Lama juga Mak tidak bersua dengannya. Rasanya, bagaikan terlalu cepat dia pergi, dalam usia awal lima puluhan.
Tiba-tiba, ada satu rasa menyelinap dalam jiwa. Tahun ni, umur Mak pun semakin bertambah. Ya Allah, sungguh, kian hampir diri ini dengan kematian.
Hati berbisik : Apa lagi yang mak nak kejar dalam usia begini ?
Nilam,
Apabila terlintas dalam fikiran tentang MATI, Mak amat risau tentang Abang.
Risau yang teramat sangat.
Siapalah insan OKU seperti abang tanpa Mak ?
Hanya seorang ibu yang redha dan sanggup berkorban apa sahaja demi anak macam abang,
Dalam sepi, hati memanjatkan doa ke hadrat Ilahi : Panjangkanlah usiaku Ya Allah, demi meneruskan bakti dan pengorbanan untuk anak OKU ku ini ... Sesungguhnya, aku terus tabah melangkah kerana anak ini, aku terus gagah meredah segala onak dan duri kerana anak ini... lantaran hanya diri ini yang mengerti betapa takkan ada insan lain yang sanggup bersabar dan bertahan dengan segala kukurangan dan kelemahan seorang anak OKU yang tak penah meminta dilahirkan ke dunia dalam keadaan sebegitu rupa ...
Perkenankanlah doaku Ya Allah ...
Ariff, Mak menerima Ariff seadanya , dan kehadiran Ariff bukan satu bebanan tapi satu amanah Allah yang mengajar mak makna sebuah kehidupan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment